PRN Sabah: PH Timbang Guna Logo WARISAN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) bersedia mempertimbangkan cadangan penggunaan logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew, berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan kepemimpinan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Sebenarnya di antara kami ada membincangkan mengenai perkara itu minggu lalu, jadi boleh dikatakan ia masih dalam proses perbincangan dan belum ada kata putus lagi.

“Kami juga ada merujuk kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beliau berkata biar ia ditentukan oleh parti masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH, Khairuddin Daud supaya PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo WARISAN sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong WARISAN di Sabah.

Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah, berkata pihaknya juga masih dalam proses penelitian untuk memuktamadkan calon.

“Kita memiliki autonomi dan kami amat hargai parti di peringkat pusat membiarkan PKR Sabah memilih calon kami sendiri untuk bertanding.

“Kami telah membincangkan mengenai pengagihan kerusi ini sebanyak dua kali dalam mesyuarat dan mesyuarat terakhir akan diadakan pada minggu hadapan.

“Kita tidak mahu pengagihan kerusi ini bertindih jadi kita akan selesaikan semua persetujuan antara sesama sendiri sebelum ditentukan oleh Ketua Menteri nanti.

“Semua akan dimuktamadkan pada minggu hadapan dan apa yang paling penting ialah kami boleh menang,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1174