Dua Lelaki Ditahan Seludup Minuman Keras & Miliki Pistol

Lori dengan muatan minuman keras tidak bercukai ditemui dalam serbuan di tebing Sungai Lubok Weston, Beaufort.

BEAUFORT: Tindakan dua lelaki tempatan cuba menyeludup masuk minuman keras dari Labuan ke daerah ini membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi khas Op Benteng Covid-19 di tebing Sungai Lubok Weston, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4.50 pagi itu, turut dirampas pistol dan peluru serta wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM9,064.

Pistol yang dirampas PPM.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika serbuan dilakukan, pasukannya bertindak memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan dua lelaki berusia 36 dan 48 tahun.

AHMAD ARIFFIN

“Hasil pemeriksaan terdapat sebuah lori dengan muatan 1,680 botol dan 5,316 tin pelbagai jenis minuman keras yang tidak bercukai dipercayai cuba diseludup masuk dari Labuan ke Beaufort.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pistol revolver Smith & Wesson .38 bersama 13 peluru dan sejumlah wang tunai RM 8,759 serta mata wang Singapura sebanyak 100 dolar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, selain lori, sebuah pacuan empat roda turut dirampas dalam serbuan itu dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM150,492.

“Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 Seksyen 8 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Terdahulu, Ahmad menyeru orang awam sentiasa memberikan maklumat terutama membabitkan jenayah maritim kepada PPM supaya tindakan dapat diambil dengan segera.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7918