Kumpulan Politik Sabah Lapor Polis Pembubaran DUN

Zulkarnain Mahdar menunjukkan laporan yang dibuatnya di Balai Polis Sri Petaling hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan politik berpangkalan di Sabah membuat laporan polis terhadap Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin dan Presiden Warisan, Shafie Apdal kerana menyalahgunakan kuasa dalam pembubaran Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Zulkarnain Mahdar, pengerusi penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), berkata Juhar tidak patut bersetuju dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN.

Katanya, Juhar sepatutnya menemui semua Adun sebelum membuat keputusan kerana Shafie tidak lagi mempunyai majoriti.

“Juhar patut jumpa semua 65 Adun sebelum menandatangani deklarasi pembubaran DUN,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling.

Beliau berkata, Juhar turut melampaui batas kuasa budi bicaranya dengan melantik Shafie sebagai ketua menteri Sabah pada 2018, beberapa hari selepas Musa Aman dilantik ke jawatan itu.

Katanya, memecat dan menggantikan Musa sama dengan mencuri kuasa DUN untuk menyingkirkan ketua menteri.

Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan melindungi dirinya kerana aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Ogos lalu berhubung pembubaran DUN Sabah.

“Saya terima laporan ada pihak tertentu cuba mencederakan saya selepas saya membuat aduan kepada SPRM.

“Lebih 10 laporan polis turut dibuat terhadap saya kerana aduan itu, mendakwa saya menghina Juhar.”

Aduan Zulkarnain ialah laporan ke-2 dibuat kumpulan itu kepada SPRM berhubung Juhar. Pada Disember 2018, G27 membuat aduan selepas perlembagaan Sabah dipinda untuk membolehkan Juhar memegang jawatan itu lebih lama.

Zulkarnain berkata, tempoh lebih lama sebagai yang di-pertua negeri boleh ditafsir sebagai ganjaran buat Juhar atas peranannya dalam memastikan Shafie dilantik sebagai ketua menteri.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *