Sembilan Kampung Dalam Hutan Simpan Di Kinabatangan Digazet

KINABATANGAN, 11 Ogos: Sembilan perkampungan dalam kawasan hutan simpan di Kinabatangan digazetkan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Jelasnya, perkampungan tersebut telah diduduki oleh masyarakat tempatan sejak berpuluh tahun dan telah lama memohon untuk kampung berkenaan digazetkan.

“Kita (kerajaan negeri) mengiktiraf kawasan itu sebagai kampung penempatan.

“Kita lakukan ini sejak tahun lalu selaras dengan tujuan kita agar kehendak rakyat di negeri ini tercapai,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran tanah kepada 240 pemilik tanah, di sini hari ini.

Menurut Mohd Shafie, kampung itu terletak di kawasan Segama dan Trusan Kinabatangan.

Mengenai majlis itu beliau berkata, geran tanah yang diserahkan melibatkan 36 kampung dengan keluasan tanah berjumlah 478.5 hektar.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Bernard Liew Chau Min berkata, daripada jumlah geran tanah itu, sebanyak 99 dihasilkan melalui Program Pengukuran Tanah Pendudukan Anak Negeri (Pantas) di tujuh kampung di kawasan Bukit Garam dan tiga, di sepanjang Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Jelasnya, Program Pantas merupakan program untuk menangani masalah tuntutan Hak Adat Anak Negeri (NCR), yang telah diduduki sekian lama oleh masyarakat anak negeri.

“Manakala 141 geran tanah lagi adalah hasil daripada permohonan tanah biasa, yang diluluskan di bawah Bahagian IV Ordinan Tanah Sabah,” katanya.

Liew turut memberitahu sebanyak 159 permohonan tanah bersyarat Geran Tanah Anak Negeri (NT) di Kinabatangan, sedang dalam peringkat pengukuran dan jabatannya menjangkakan lot-lot tanah tersebut akan dapat dikeluarkan geran tanah, pada pertengahan tahun depan (2021).- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *