Sabah Akan Terus Ketinggalan Dibawah Kepimpinan Shafie, Kata Musa

Bekas ketua menteri Musa Aman berkata laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada Ogos 2020 menyatakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada paras paling rendah iaitu 0.5% pada 2019.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Musa Aman berkata, Sabah akan terus ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi jika Shafie Apdal terus memegang tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, ia berikutan aktiviti perniagaan dan pelaburan langsung asing yang semakin berkurangan di negeri itu.

“Laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada Ogos 2020 menyatakan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada paras paling rendah iaitu 0.5% pada 2019, sekali gus membuktikan parti serpihan Warisan pimpinan Shafie Apdal gagal dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

“Kadar pengangguran berada pada paras 5.8% iaitu yang terburuk dalam tempoh 20 tahun, bermakna lebih daripada 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan dan dibelenggu kebimbangan ketika menyambut kedatangan 2020 awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa berkata, secara ringkas angka besar itu bermakna ramai rakyat Sabah kehilangan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan dan berdepan pelbagai kesukaran bersama keluarga untuk menyara kehidupan dan keadaan itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Ini ditambah dengan penguncupan KDNK Sabah selama 2 tahun berturut-turut iaitu 1.5% pada 2018 dan 0.5% pada 2019, sekali gus memberi gambaran trend berbahaya yang menanti.

“Amat memalukan sekali apabila Sabah menjadi negeri yang mempunyai KDNK paling rendah di seluruh Malaysia selama 2 tahun berturut-turut, malah ia lebih rendah berbanding negeri termiskin di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Musa mewakili gabungan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokongnya sebelum ini berharap mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, mereka berpendapat Juhar menerima nasihat yang salah daripada Shafie.

“Gabungan 33 Adun yang mewakili semua parti politik dalam DUN ke-15, teguh dengan pendirian untuk mengembalikan kebenaran dan keadilan.

“Adalah penting untuk kita semua kekal bersatu dan kekal dengan perjuangan untuk membawa Sabah kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa turut mengalu-alukan kehadiran Parti Cinta Sabah (PCS) dalam senario politik tempatan di negeri itu.

“Semua kami termasuk pelbagai parti yang ada, mungkin mempunyai perbezaan pandangan tetapi kami sepakat dalam 1 tujuan iaitu menyelamatkan Sabah daripada pentadbiran yang tidak cekap dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Sabah.

“Kita berhak mendapat yang lebih baik, Sabah berhak menikmati suasana jauh lebih baik.

“Dalam menguruskan politik dan pentadbiran kerajaan, adalah penting bagi kita membawa masuk tenaga baharu bersama dan suntikan idea baharu itu pula mesti diimbangi dengan mereka yang sudah sedia kaya dengan pengalaman dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5112