Air India Express Tergelincir, Terbelah Dua Ketika Mendarat, 17 Terbunuh

Pesawat Boeing-737 yang membuat penerbangan dari Dubai itu membawa pulang rakyat India yang terkandas di luar negara akibat COVID-19.

SEKURANG-kurangnya 17 terbunuh dan lebih 100 cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah pesawat Air India Express yang tergelincir dari landasan ketika mendarat di sebuah lapangan terbang berhampiran bandar Kozhikode, di Kerala, pada Jumaat.

Ketika kejadian, pesawat Boeing-737 yang membuat penerbangan dari Dubai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut itu, membawa pulang rakyat India yang terkandas di luar negara akibat pandemik COVID-19.

Menurut laporan Reuters, pendaratan dibuat dalam keadaan hujan lebat.

Pesawat tersebut membawa 190 penumpang dan anak kapal, termasuk 10 bayi, memetik kementerian penerbangan awam dalam satu kenyataan.

Nahas yang berlaku sekitar jam 7.40 malam waktu tempatan itu telah menyebabkan pesawat terbelah dua di landasan.

“Disebabkan faktor cuaca, ia tidak dapat mendarat pada kali pertama. Jadi, ia melakukan pusingan dan cuba menghampiri dari arah lain,” kata Menteri Penerbangan Awam Hardeep Singh Puri.

Bercakap kepada stesen penyiaran DD News, beliau berkata, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Katanya, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan sebahagian besar penumpang kerana pesawat itu tidak terbakar ketika menuruni lereng di hujung landasan.

“Berita baiknya, pesawat terbelah dan kami dapat mengakses penumpang dengan mudah,” kata Puri, sambil menambah, ketika ini operasi menyelamat telah selesai.

Pejabat ketua menteri Kerala, di mana terdapat ramai warga India yang bekerja di Timur Tengah, mengatakan, selain 17 yang maut, 173 yang lain sedang dirawat di hospital.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost


757