Pendengaran Kes Musa Aman Cabar Bubar DUN Sabah 17 Ogos Ini

Pada 30 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal difahamkan mendapat perkenan daripada Tun Juhar. 

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos hadapan sebagai tarikh mendengar hujah seterusnya berhubung cabaran gabungan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Leonard Chin menetapkan tarikh berkenaan selepas sesi semakan kehakiman dilakukan di sini, tengah hari tadi.

Menurut peguam bagi pihak Tan Sri Musa Aman dan 32  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memfailkan permohonan itu, Tengku Fuad Tengku Ahmad, pihaknya telah diminta datang semula ke mahkamah pada 17 Ogos depan untuk sesi berkenaan.

Selepas sesi itu, ia adalah terserah kepada keputusan mahkamah sama ada perlu penetapan perundangan atau sebaliknya.

“Kami diminta hadir semula pada 17 Ogos untuk pendengaran hujah lanjut atau penetapan, ia terpulang kepada hakim di mana beliau mahu mendengar lebih banyak hujahan dan sama ada beliau mahu membuat penetapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Untuk rekod, kes semakan kehakiman itu berlangsung di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini melibatkan cabaran gabungan Tan Sri Musa Aman terhadap pembubaran DUN oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu. 

DUN dibubarkan selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal difahamkan mendapat perkenan daripada Tun Juhar. 

Sementara itu, Tengku Fuad yang merupakan peguam dari FT Ahmad & Co, turut mendedahkan antara hujah utama ditampilkan kepada mahkamah adalah mengikut Artikel 21 (2) dan Artikel 7 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Hujah utama adalah ketidakwajaran nasihat untuk pembubaran DUN di bawah Artikel 21 (2).

“Kita juga mendapati TYT gagal melaksanakan lunas perlembagaan dibawah Artikel 7(1) untuk mempertimbangkan Tan Sri Musa yang mempunyai majoriti wakil rakyat dan perlu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Terdahulu, sesi mahkamah menyaksikan Tengku Fuad sebagai peguam gabungan Musa Aman manakala TYT dan kerajaan negeri diwakili oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Brandon Keith Soh. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4044