Wanita Ditahan Bersama Syabu Di Lahad Datu

Suspek wanita ditahan bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dewata, Jalan Silam, Lahad Datu.- Foto Juwan Riduan

LAHAD DATU: Seorang wanita warga asing ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dewata, Jalan Silam di Lahad Datu semalam.

Serbuan pada 2.30 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang bertindak atas maklumat turut menahan tuan rumah berkenaan selepas didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, polis menemui seorang wanita berusia 42 tahun sedang duduk di ruang tamu rumah.

Menurutnya, polis terus membuat pemeriksaan sebaik memperkenalkan diri sebelum suspek mengeluarkan satu bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

“Di hadapan suspek dan disaksikan anggota operasi, pemeriksaan mendapati paket plastik berkenaan mengandungi 21 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

“Dadah yang dirampas adalah seberat 5.11 gram yang dianggarkan bernilai RM511 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Pemeriksaan lanjut sekitar kawasan rumah tidak menemui apa-apa barang salah dan suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nasri berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapatinya negatif dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3757