Dua Warga Asing Ditahan Bersama Rokok Seludup Di Lahad Datu

Pasukan Polis Marin memberkas dua lelaki dan merampas 800 bungkus rokok seludup di sebuah rumah atas air di Kampung Yayasan Sabah, Lahad Datu. Gambar Ihsan PPM

LAHAD DATU: PasukanPolis Marin (PPM) menahan dua warga asing dan merampas 800 bungkus rokok seludup di sebuah rumah atas air di Kampung Yayasan Sabah, Lahad Datu hari ini.

Lelaki berusia 17 dan 30 tahun itu ditahan bersama rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM11,616 pada 4.30 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima makluman lalu sepasukan anggota dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu anggota bertugas berjaya menemui bungkusan berkenaan.

“Sebaik diperiksa bungkusan berkenaan berisi rokok seludup pelbagai jenama seperti Astro Black Menthol, Astro Menthol King, dan Astro Ice Blue Berry Fuze.

“Dua lelaki warga asing yang berada di lokasi itu turut diberkas bagi membantu siasatan.

“Suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ping Sin berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *