31 Individu Dikenakan Kompaun RM1,000

Polis mengambil tindakan tegas apabila mengenakan 31 kompaun terhadap orang awam termasuk tiga pemilik premis yang dikesan melanggar SOP PKPP khususnya berkaitan penjarakan fizikal.

KOTA KINABALU: Seramai 31 orang awam termasuk tiga pemilik premis dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata 28 daripada mereka pelanggan premis terlibat yang berumur antara 21 sehingga 50 tahun.

Polis mengambil tindakan tegas apabila mengenakan 31 kompaun terhadap orang awam termasuk tiga pemilik premis yang dikesan melanggar SOP PKPP khususnya berkaitan penjarakan fizikal.

“Tindakan diambil hasil Pemantauan Operasi COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi semalam,” katanya.

Habibi berkata kesemua mereka dikenakan kompaun akibat melakukan kesalahan tidak mengamalkan SOP penjarakan fizikal seperti ditetapkan dalam penguatkuasaan PKPP.

Mengulas lanjut, kompaun itu dikeluarkan selaras dengan peruntukan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) (No. 2) 2020.

“Mereka dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan proses pengeluaran kompaun dan satu kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam Sabah.

“Operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu untuk memeriksa tahap pematuhan awam,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu mematuhi SOP PKPP yang dikuatkuasakan untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan daripada terus merebak di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata polis akan terus memantau secara berterusan khususnya pemeriksaan dari masa ke semasa untuk memastikan penguatkuasaan PKPP dipatuhi. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *