Kes Baharu Covid-19 Di Sabah Libatkan Kanak-Kanak

KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki dari Papar antara kes baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah, semalam.

Kes ini merupakan pesakit yang memerlukan rawatan susulan berpanjangan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Kes ini dikesan semasa aktiviti saringan pesakit berisiko tinggi.

Dr Christina Rundi

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes kanak-kanak itu antara tiga kes baharu yang dikesan di Sabah semalam.

Katanya, kes baharu turut dikesan di Penampang dan Lahad Datu. Di Penampang, kes melibatkan seorang lelaki tempatan yang dikesan positif melalui saringan pengembara dari luar negara.

“Keputusan ujian RT-PCR pertama kes ini adalah negatif namun, ujian RT-PCR kedua didapati positif. Kes ini telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth.

“Manakala kes di Lahad Datu pula merupakan wanita warganegara yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu kerana mengalami demam. Kes ini disahkan positif Covid-19 semasa saringan kemasukan ke wad,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dengan pengesanan tiga kes itu, kes Covid-19 di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 392 kes. Kes pulih setakat ini sebanyak 374 kes dan kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes.

Sehingga kini, terdapat 1,023 orang masih menjalani kuarantin di seluruh Sabah termasuk 801 orang dikuarantin di rumah dan 222 orang dikuarantin di lapan pusat kuarantin. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

14181