SPRM Perlu Siasat Ejen Politik Tawar Wang Kepada Adun Sabah

Henrynus Amin

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat dakwaan bahawa ada ejen politik menawarkan wang tunai dan kedudukan kepada beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Tawaran wang itu bertujuan untuk mendorong mereka melompat parti dan mengisytiharkan sokongan kepada pihak lawan.

Presiden PKAN, Datuk Henrynus Amin berkata, terdapat dua laporan polis telah dibuat oleh ADUN DAP Sabah berkaitan keadaan itu.

Katanya, terdapat beberapa pengakuan terbuka oleh ADUN Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendakwa telah didekati dan ditawarkan wang tunai serta kedudukan oleh ejen-ejen politik untuk meyakinkan mereka untuk melompat parti.

Beliau berkata, dilaporkan ejen politik pihak lawan itu turut melakukan lawatan ke kediaman beberapa ADUN kerajaan Sabah. Ada yang mendakwa ditawarkan sejumlah RM50juta.

Tindakan sebegini bukan hanya menjejaskan keyakinan pengundi terhadap integriti sistem pilihanraya tetapi, ia turut merendahkan martabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Dakwan tersebut amat serius dan boleh memberi implikasi mendalam terhadap amalan demokrasi negara kita. Oleh itu, siasatan segera perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Henrynus berkata, SPRM dan polis harus menyiasat individu yang dikenal pasti sebagai ejen politik tersebut.

“SPRM harus bertindak secara proaktif untuk menghentikan amalan rasuah yang biasa diamalkan oleh parti politik atau ejen mereka yang menawarkan habuan lantikan untuk jawatan menteri dan memberi faedah kewangan untuk memikat ADUN lawan agar berpaling tadah kepada mereka,” tambahnya.

Menurutnya, polis juga harus menyiasat dakwaan balas bahawa individu yang diandaikan membuat tawaran wang itu mungkin ejen palsu yang terlibat dalam kempen memburuk-burukkan pemimpin politik tertentu.

Beliau berkata, SPRM dan polis harus siasat perkara ini sampai ke pokok pangkalnya, dan bertindak terhadap orang orang yang didapati cuba menjejaskan amalan demokrasi.

Beliau berkata, PKAN menentang keras pembelotan politik ADUN perseorangan yang tidak beretika dan boleh mengancam kestabilan politik negara serta kesinambunan pentadbiran kerajaan yang sudah dibentuk.

Menurutnya, rakyat Sabah kini berhati-hati dan mula bosan membaca serta mendengar khabar angin mengenai wakil rakyat yang menjadi sasaran dan diperdagangkan sebagai komoditi politik dengan tanda harga di atas kepala mereka.

Malah, terdapat juga khabar angin bahawa kononnya sekurang-kurangnya 15 wakil rakyat Warisan akan melompat bagi menyokong Perikatan Nasional (PN).

Namun, jika dilihat gabungan Warisan, Pakatan Harapan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masih memiliki majoriti yang kuat pada masa ini.

Ketua Menteri juga perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi kerajaan dengan menangani cabaran dalaman dan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota parti sendiri.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1119