RM1.25 Bilion Naik Taraf, Pembangunan Semula 237 Sekolah Daif Di Sabah

Dr Radzi (dua, kanan) meninjau keadaan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu semasa melakukan lawatan meninjau sekolah daif di Tawau baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Dr Radzi (dua, kanan) meninjau keadaan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu semasa melakukan lawatan meninjau sekolah daif di Tawau baru-baru ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.06 bilion diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi projek naik taraf dan pembangunan semula 773 sekolah daif di seluruh negara.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf atau membina semula kelas, asrama, bangunan pentadbiran dan kemudahan lain.

Daripada keseluruhan peruntukan itu, katanya, sebanyak RM1.25 bilion digunakan bagi kerja naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah.

“RM630.7 juta sudah disalurkan bagi membiayai projek naik taraf dan pembangunan semula antara 2017 hingga tahun lalu, manakala sebanyak RM621.2 juta diperuntukkan bagi tujuan sama, tahun ini.

“Sebanyak 150 projek siap sepenuhnya dengan 129 daripadanya sudah dikeluarkan ‘Certificate of Practical Compliance’ (CPC) atau ‘Certificate of Partial Occupation’ (CPO), manakala 21 lagi dalam proses mendapatkan CPO.

“Baki tiga projek masih dalam pembinaan, manakala 19 lagi dalam proses perolehan dan 65 di fasa pra bina dengan ia berdasarkan status pelaksanaan projek di Sabah sehingga 20 Julai lalu,” katanya menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) ketika sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan turut menerima peruntukan bernilai RM410 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi kerja menaik taraf, baik pulih dan selenggara kemudahan di sekolah.

“Semua peruntukan ini sudah disalurkan ke Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, pada April lalu. Di Sabah khususnya, sejumlah RM125 juta sudah disalurkan bagi pelaksanaan projek ini.

“Peruntukan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 391 sekolah di Sabah,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *