Malaysia Mungkin Kembalikan SOP PKP

Petugas SJR Jalan Kepayan menjalankan tugas di lapangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin melaksanakan kembali prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, jika majoriti rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang menjalani perintah kuarantin di rumah, terus mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab ‘saya tidak peduli’.

Petandanya sudah pun ada, dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini, manakala perintah kuarantin mandatori 14 hari di stesen yang ditetapkan bagi mereka yang pulang dari luar negara kembali diwajibkan semula, sejak Jumaat.

Lebih buruk lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata Kuching, Sarawak diisytiharkan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga, berkata kerajaan semalam bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang dilonggarkan sebelum ini di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) dan dijangka akan membuat pengumuman mengenainya selepas mesyuarat menteri-menteri Isnin ini.

Beliau berkata perkara itu tidak menghairankan apabila 2,897 individu di bawah kuarantin mandatori di rumah masih belum melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas 13 hari pulang dari luar negara.

Secara statistik, kes jangkitan baharu COVID-19 terus meningkat dengan 23 kes dilaporkan semalam berbanding 21, sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,884 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 167 kes.

Dua hari lalu, beliau berkata Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Semasa menyatakan kebimbangan itu, Dr Noor Hisham berkata ketika ini kadar R0 naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lalu.

Katanya jikalau R-naught (R0) meningkat, ini bererti semakin ramai akan dijangkiti. Apa yang membahayakan adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6158