Kesemua Penggambaran Filem Termasuk Di Media Sosial Perlu Mendapatkan Lesen FINAS

Semua agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi terikat dengan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti penggambaran memerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Malah, beliau turut membayangkan penyedia kandungan video platform dalam talian seperti YouTube (YouTuber) mungkin terikat dengan Akta Finas 1981 (Akta 244).

Saifuddin berkata, semua agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi terikat dengan undang-undang itu.

Beliau berkata, mana-mana individu tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamerkan filem melainkan memiliki lesen berdasarkan Seksyen 22 (1) akta sama.

“Kementerian Komunikasi melalui Finas berfungsi mengawal selia aktiviti perfileman bagi memelihara dan memajukan industri filem.

“Finas mengeluarkan 3 jenis lesen kepada industri perfileman iaitu lesen pengeluaran filem dan video, lesen pengedaran filem dan lesen pempameran filem dan video.

“Penerbit filem wajib memohon lesen pengeluaran filem dan surat perakuan penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau ‘media personal’ yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan setiap filem, dokumentari, filem kecil iklan atau apa-apa rakaman bahan dan video untuk dipertonton orang ramai perlu mematuhi undang-undang.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) adakah semua penerbit filem termasuk dalam platform media sosial perlu memohon lesen pengeluaran filem dan SPP di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan tambahan, ketika Shu Qi cuba mendapatkan kepastian adakah media sosial juga terikat, Saifuddin dilihat tidak menjawab sebaliknya hanya memperincikan takrifan filem.

Menjawab soalan tambahan, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya adakah YouTuber Dustin Pfundheller yang mengeluarkan video bagi membalas dokumentari kontroversi Al-Jazeera mempunyai lesen Finas, Saifuddin menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan jika ada aduan, tindakan akan diambil.

Lesen Finas mencuri tumpuan susulan keputusan kerajaan menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen untuk menghasilkan dokumentari.

Sebelum ini, Finas mendapati Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Malah, syarikat penyiaran antarabangsa itu juga tidak membuat permohonan untuk surat perakuan penggambaran bagi membuat liputan dokumentari berkenaan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

689