Ibu & Anak 5 Tahun Terselamat, Kereta Terbakar

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah kereta.

BEAUFORT: “Saya terkejut kereta tiba-tiba berasap di bahagian enjin dan saya segera membawa anak keluar. Tidak lama kemudian, kereta itu mula terbakar,” kata Emma Mokti, 35, pemandu Perodua Kancil yang terbakar berhampiran bangunan Wisma Arjuna, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Emma bersama anak perempuannya yang berusia lima tahun mahu pulang ke rumahnya di Kampung Jempangah.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah kereta.

“Saya baru saja selesai berniaga menjual kuih dan mahu pulang ke rumah.

“Tidak sangka pula kereta yang saya pinjam daripada bapa saudara saya tiba-tiba terbakar dan mujur kami sempat keluar daripada menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, dia yang panik dengan kejadian itu cuba meminta bantuan daripada orang awam yang ada di kawasan berkenaan.

“Ada orang awam yang hubungi pihak bomba dan memadamkan kebakaran kereta itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Willy Gilbert berkata, dua mangsa berada di dalam kenderaan itu berjaya keluar sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort tiba.

“Kejadian membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil terbakar sepenuhnya dan pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera.

“Kebakaran dapat dikawal pukul 8.28 malam dan selepas memastikan keadaan persekitaran selamat kita menamatkan keseluruhan operasi pada pukul 8.52 malam,” katanya.

Katanya lagi, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kes ini dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *