Kastam Rampas Rokok Seludup RM14.45 Juta Di Labuan

Antara rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Labuan pada 10 Julai lalu.

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM14.45 juta dalam operasi di Pelabuhan Labuan, di sini pada 10 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, operasi sepasukan Unit Siasatan Dalaman (USD) berjaya mengesan dua buah kontena berisi rokok seludup.

Operasi sepasukan Unit Siasatan Dalaman berjaya mengesan dua buah kontena berisi rokok seludup.

“Sebanyak 20.4 juta batang rokok dengan jumlah cukai sebanyak RM14.45 juta telah dirampas.

“Semakan ke atas Borang Kastam 1 (Import), Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan bahawa dagangan terbabit diimport dari salah sebuah negara di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai lesen import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

Katanya, dua buah syarikat dan seorang ejen kastam telah dikenal pasti kerana disyaki menguruskan pengikraran dagangan di dalam kontena tersebut.

“Beberapa individu lain yang disyaki terlibat juga telah dikesan untuk membantu siasatan yang sedang giat dijalankan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.

Tambahnya, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *