Gagal Patuhi SOP, Pemilik Premis Dikompaun RM1,000

BEAUFORT: Tindakan seorang pemilik premis pasar mini tidak menyediakan alat pengukur suhu badan di premisnya membawa padah apabila dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di Kampung Bingkul, di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita berusia 43 tahun gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Azmir Abd Razak berkata, sepasukan anggota Pasukan Pemantau Pematuhan PKPP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan pemeriksaan premis sekitar daerah itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis gagal mematuhi SOP PKPP iaitu tidak menyediakan alat pengukur suhu badan kepada pelanggan yang berkunjung ke premisnya itu.

“Pemilik premis kemudian diminta hadir ke IPD Beaufort untuk surat kompaun dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana telah melanggar peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Penyakit Berjangkit (PPPPB) No 7, 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, polis akan terus mengambil tindakan mengenakan kompaun kepada pesalah yang terbabit tanpa amaran dan nasihat lagi bagi fasa PKPP ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

856