TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mengesan seorang individu baru pulang dari luar negara yang didapati menanggalkan gelang tangan yang dipasang mengikut perintah kuarantin COVID-19.
Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran, berkata lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu sudah tampil memberi keterangan di pejabatnya, kelmarin.
Katanya, lelaki terbabit mengemukakan maklumat tidak tepat dan deklarasi kesihatan mengelirukan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau, awal bulan ini.
“Ketika disoal siasat, awalnya dia mendakwa tidak pernah ke luar negara sebelum ini.
“Bagaimanapun, dia akhirnya mengaku baru pulang dari luar negara dan menanggalkan gelang tangan ketika tiba di KLIA,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Dr Navindran berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
Sebelum ini, beberapa keping gambar tular di laman sosial membabitkan tindakan beberapa individu memakai gelang tangan merah jambu sebagai tanda baru pulang dari luar negara, berada di tempat awam termasuk premis makanan.
Mereka yang memakai gelang tangan itu perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari sebelum membuat saringan kedua pada hari ke-13.- BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost