ADUN Gum-Gum Akui Dipujuk Keluar WARISAN Untuk Sokong Musa

Arunarnsin

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum Arunarnsin Taib akui menerima 10 percubaan daripada ejen pihak pembangkang di negeri ini untuk memujuk beliau keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Namun pendirian Pembantu Menteri Belia dan Sukan itu tidak goyah dengan pujukan-pujukan yang dimainkan ejen pihak pembangkang semata-mata untuk menyokong Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri baharu.

Katanya, pihak terbabit sering menggunakan ancaman kononnya kedudukan kerajaan negeri umpama ‘telur di hujung tanduk’.

“Mereka memujuk saya supaya menyelamatkan diri dengan menyertai blok pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baharu.

“ADUN kerajaan turut ditawarkan RM27 juta untuk menyertai blok pembangkang dan ada lagi penambahan RM5 juta kepada menteri dan pembantu menteri menjadikan jumlah keseluruhan RM32 juta semata-mata untuk mengkhianati mandat rakyat.

“Saya jelaskan kepada ejen-ejen berkenaan, sayang duit begini banyak dikasi kaya YB-YB (wakil rakyat). YB kaya tapi rakyat menderita kerana kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, duit yang banyak lebih baik didermakan kepada rakyat Sabah yang memerlukan sekaligus mendatangkan pahala untuk akhirat nanti.

Beliau menganggap, walaupun tawaran yang diberikan amat lumayan, pendiriannya masih berpegang kepada prinsip menghormati mandat yang rakyat Gum-Gum berikan kepada beliau pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Arunarnsin juga tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kepada beliau sehingga dilantik menjadi pembantu menteri dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Arunarnsin akui situasi itu amat menganggu pergerakan beliau sehingga terpaksa ‘melarikan diri’ daripada ejen-ejen yang tidak pernah kenal penat lelah untuk memujuknya.

“Mereka akan cuba menjejaki saya bila panggilan telefon mereka tidak dijawab atau mesej di WhatsApp tidak dibalas.

“Tidak cukup setakat itu, keluarga saya turut dihubungi oleh mereka sehingga ada yang sanggup mengintai di rumah saya,” katanya mengakui situasi terbabit sudah berlarutan sejak dari bulan lepas lagi.

Menurutnya, sebagai wakil kepada rakyat Gum-Gum, tiada rasional untuk mengubah pendiriannya untuk terus memberi khidmat kepada kerajaan negeri yang ditunjangi WARISAN bersama dengan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.

KENNY
KENNY

Pesanan akhir beliau kepada pihak terbabit, tiada harga yang boleh membeli kesetiaan beliau kepada Shafie dan WARISAN dan sesekali tidak akan membelot rakyat Gum-Gum.

Sementara itu, ADUN Inanam yang juga Naib Pengerusi PKR Sabah Kenny Chua turut menafikan menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Musa sebagai pilihan kerajaan PN memegang jawatan Ketua Menteri.

Menurutnya, SD yang ditandatanganinya adalah untuk menyokong Shafie sebagai Ketua Menteri.

Beliau turut menyatakan tetap setia dengan pendirian untuk terus menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiada hasrat untuk meninggalkan parti.

Kenny antara wakil rakyat yang dikatakan kononnya menandatangani SD untuk menyokong Musa. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *