Tangkap, Kompaun Individu Ingkar SOP Sepanjang PKPP

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu akan melaksanakan tangkapan serta kompaun ke atas individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, langkah berkenaan adalah sama seperti undang-undang yang dilaksanakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita mempunyai sembilan balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan setiap balai diwujudkan dua kumpulan bagi melakukkan pemantauan bermula minggu ini.

“Ini berikutan kita melihat pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat terutamanya di sekitar bandar raya sudah agak longgar. Oleh itu, ia harus diperhebatkan semula supaya tiada lagi sebarang penular Covid-19 baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang selepas menghadiri Persediaan SOP Pembukaan Sekolah Tahap Satu dan Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, hari ini.

urut hadir Guru Besar SK Sri Gaya, Supiah Noor dan Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran.

Dalam pada itu, Habibi berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP melibatkan 34 sekolah rendah dan 19 sekolah menengah di bawah selia IPD Kota Kinabalu.

Katanya, pihaknya juga sudah menetapkan semua sekolah dipantau oleh dua orang anggota berpangkat Inspektor atau setidaknya Koperal bagi memastikan semua sekolah mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

“Perkara utamanya kita bersama bagi memutuskan penularan Covid-19 disamping mengelakkan jenayah berlaku dan keadaan trafik di luar sekolah dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sri Gaya, Supiah Noor berkata, sekolahnya sudah membuat persediaan berkaitan SOP sejak beberapa minggu lalu sebelum sesi persekolahan pertama dibuka.

Supiah berkata, kehadiran murid juga memuaskan ketika ini walaupun masih ada segelintir ibu bapa yang masih berapa bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Bagaimanapun, kita faham situasi ini dan memberi peluang selama dua minggu kepada ibu bapa untuk melihat sendiri keadaan keselamatan sekolah,” katanya.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *