PPM Tahan Empat Lelaki Ceroboh Kawasan Pelantar Minyak

Antara individu yang ditahan selepas menceroboh kawasan pelantar minyak Malikai.

KOTA KINABALU: Tindakan empat lelaki menceroboh kawasan pelantar minyak membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan pelantar minyak Malikai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, empat lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan selepas didapati melakukan aktiviti memancing di kawasan terbabit.

Dua bot ditahan selepas empat lelaki didapati melakukan aktiviti memancing di kawasan berhampiran pelantar minyak Malikai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, tangkapan dibuat ketika anggotanya sedang menjalankan Op Gelora Khas dan Op Benteng COVID-19 di kawasan berkenaan.

Katanya, bertindak atas aduan, dua bot bersama empat lelaki berjaya ditahan di kawasan perairan pelantar minyak berkenaan.

“Dua lelaki dilihat berada di sebuah bot tidak bernombor dan didapati sedang memancing berhampiran bawah platform pelantar minyak Malikai manakala sebuah lagi bot juga tidak bernombor diikat pada tiang platform pelantar minyak itu.

Antara individu yang ditahan selepas menceroboh kawasan pelantar minyak Malikai.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat individu itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Enturan berkata, dua bot berkenaan ditunda ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM37,370.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan jika didapati bersalah, keempat-empat lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *