PGA Tahan PATI Miliki Syabu Di Pulau Mabul

Suspek ditahan PGA

SEMPORNA: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) kempunan menikmati syabu yang baru dibelinya apabila dia ditahan polis di Pulau Mabul, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, sepasukan polis dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau turut merampas dua paket plastik berisi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.29 gram.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintenden Mohd. Yacob Murad berkata, terdahulu, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di pulau berkenaan.

Dua paket syabu yang dirampas daripada suspek.

“Ketika serbuan dilakukan, pasukan bertugas menemui seorang lelaki berumur 52 tahun berada di ruang tamu rumah.

“Tiada sebarangan kesalahan ditemui pada badan suspek, namun, pemeriksaan lanjut di rumah terbabit berjaya menemui dua paket dadah yang disimpan dalam sebuah beg silang di situ,” katanya.

Difahamkan, suspek mengaku memiliki dadah berkenaan.

Menurut Mohd Yacob, suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu mendakwa baru saja membeli dadah berkenaan dari pekan.

Sehubungan itu, suspek ditahan dan diserahkan bersama dadah yang dirampas kepada Ibu Pejabat Daerah Semporna untuk tindakan lanjut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *