Lapan Ditahan Buat Aksi ‘Superman’, Wheelie

KOTA KINABALU: Tindakan lapan lelaki menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ dan wheelie mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, hari ini.

Semua suspek berusia 17 hingga 28 tahun ditahan pasukan dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, jam 1.30 pagi, di dua lokasi berasingan.

Ketua JSPT Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bermula di kawasan jejambat Tanjung Aru sehingga ke lampu isyarat Kepayan tanpa putus daripada pandangan melihat sekumpulan enam lelaki menunggang motosikal melakulan pelbagai aksi yang melulu dan berbahaya.

Katanya, mereka melakukan pelbagai aksi iaitu ala ‘Superman’, wheelie dan melakukan aksi menduga kelajuan yang mana bersaing sesama sendiri dengan menundukkan badan serta melakukan ‘Zig Zag’.

“Sebaik kumpulan motosikal yang sudah dikenal pasti melakukan aksi bahaya mula berhenti di kawasan jejambat lampu isyarat Tanjung Aru, seterusnya pasukan polis menghampiri dan menahan semua suspek terbabit.

“Operasi kedua dijalankan di sekitar Putatan dan melihat tiga motosikal berlumba sesama sendiri dengan cara berbahaya sebanyak empat pusingan bermula dari lampu isyarat JKR Putatan hingga ke pusingan ‘U’ Kampung Ulu, Putatan.

“Pasukan polis kemudian mengekori motosikal berkenaan dan sebaik selesai berlumba di hadapan sebuah restoran, ketika berhenti polis menahan dua lelaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, kelapan-lapan tangkapan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Sebanyak sembilan motosikal disita bagi siasatan lanjut.

“Selain itu, sebanyak 27 keping sama dikeluarkan dalam operasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, operasi ini bertujuan mencegah dan memastikan kegiatan samseng jalanan atau lumpa haram di lokasi-lokasi ‘hotspot’ yang sering berlaku aktiviti lumba haran dapat dikekang dan dicegah.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *