Mayat Wanita 102 Tahun Ditemukan Terapung Di Tawau

Mayat mangsa warga emas dihantar ke unit forensik hospital Tawau untuk tindakan lanjut. Gambar Abdul Rahemang Taiming.

TAWAU: Penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau digemparkan dengan penemuan mayat wanita berusia 102 tahun terapung di penempatan atas air itu, pagi ini.

Marwiyah Sakke dipercayai lemas sebelum jasadnya ditemukan penduduk kampung kira-kira 6 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Anak mangsa, Samsiah Baddu, 60, berkata dia hanya menyedari kehilangan ibunya kira-kira jam 2 pagi selepas melihat tingkap rumah terbuka dan wanita lanjut usia itu tiada di dalam biliknya.

Katanya, walaupun umur ibunya lebih 100 tahun tetapi dia masih sihat dan mampu berjalan, cuma mengalami masalah nyanyuk (Alzheimer) dan sering merayau.

“Pagi tadi, selepas Subuh usaha mencari diteruskan oleh ahli keluarga di sekitar kampung sebelum menemukan selipar dan kain batik yang dipakainya berhampiran perahu di bawah rumah ketika air laut surut.

“Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan oleh penduduk kampung penemuan mayat ibu kira-kira satu kilometer dari kawasan rumah di sini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Katanya, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari unit forensik turut hadir di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan fizikal ke atas tubuh mangsa sebelum mayat dihantar ke Hospital Tawau.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *