Dua Dalang Edar Dadah Di Kota Kinabalu Diberkas

Dua lelaki disyaki dalang sindiket pengedaran di Kota Kinabalu diberkas polis.

KOTA KINABALU: Kegiatan pengedaran dadah didalangi dua lelaki di Kota Kinabalu berakhir apabila mereka diberkas polis dalam serbuan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Tun Fuad Stephen, kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu, ditahan bersama dadah syabu seberat satu kilogram dianggarkan bernilai RM42,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek bertindak cuba melarikan diri namun tindakan pantas anggota polis berjaya menggagalkannya.

Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan urusan pengedaran dadah berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati setiap transaksi yang berjaya dijalankan, kedua-dua suspek akan menerima habuan sebanyak RM500 bagi setiap satu kilogram syabu yang dijual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7597