COVID-19: Sandakan Kembali Catat Kes Baharu, Keningau Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Sabah mencatat satu kes Covid-19 baharu iaitu di Sandakan, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini, kini sebanyak 381 kes.

Sandakan juga kembali dikategorikan sebagai zon kuning bersama dua daerah lain iaitu Tuaran dan Nabawan kerana masing-masing mempunyai satu kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dalam Facebook beliau turut menyaksikan seorang lagi pesakit telah sembuh dan discaj, hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 371 manakala jumlah kes aktif yang masih menerima rawatan kekal sebanyak tiga kes.

Kes sembuh itu membabitkan pesakit dari Keningau dan daerah berkenaan juga kini dikategorikan sebagai zon hijau kerana mencatat sifar kes Covid-19 aktif dengan kebolehjangkitan.

Sementara itu, tiada kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini dengan jumlah korban kekal sebanyak tujuh kes iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau, Tambunan serta Keningau.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Kuala Lumpur yang merekodkan 2,449 kes, Selangor (2,098), Negeri Sembilan (1,207), Johor (701) dan Sarawak (594).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *