SPRM Tahan Pembantu Tadbir, Pasangan Suami Isteri

TAWAU: Seorang pembantu tadbir kewangan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM16,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 54 tahun yang bertugas di sebuah hospital itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi.

Suspek dikatakan menggunakan jawatannya untuk meluluskan proses pembayaran kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan kepada sebuah syarikat pada 2015.

Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Khas Rasuah esok.

Sementara itu dalam kes berasingan, sepasang suami isteri turut ditahan SPRM kerana dipercayai mengemukakan maklumat palsu bagi mendapatkan tender kantin sekolah bernilai RM100,000.

Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 2017.

Kedua-dua mereka dijangka didakwa di mahkamah sama esok mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan bagi kesalahan berkaitan dengan penggunaan lesen berniaga dan penyata bank palsu bagi tujuan mendapatkan tender sewaan kantin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek berkenaan.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *