KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan enam lagi aktiviti dan perkara yang dibenarkan dalam Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini, bermula semalam.
Operasi yang dibenarkan itu ialah arked permainan; taman hiburan dalaman; hiburan pendidikan; gimnasium permainan kanak-kanak; hiburan permainan berasaskan peralatan mesin hiburan teknologi; dan pusat karaoke keluarga.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan itu diambil sejajar keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan pada 10 Julai lalu.
“Sejajar dengan itu, kerajaan Sabah memutuskan enam operasi atau aktiviti dibenarkan di negeri ini.
“Waktu operasi perniagaan hendaklah dijalankan seperti biasa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak yang berwajib,” katanya menerusi kenyataan medianya di sinu hari ini.
Mohd Shafie berkata, kerajaan turut mengingatkan rakyat di negeri ini terutama pengguna premis atau aktiviti yang dibenarkan untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan dalam semua urusan serta aktiviti yang dibenarkan.
“Ia bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost