Coronavirus Baharu Akan Muncul Dalam Tempoh Sedekad

Coronavirus baharu akan muncul dalam tempoh sedekad

SINGAPURA: COVID-19 adalah virus ketiga berupaya berjangkit daripada haiwan kepada manusia dan ia bukan yang terakhir, malah mungkin akan ada virus baharu dalam tempoh sedekad ini.

Amaran itu diberi oleh Pengarah Program Penyakit Berjangkit Baharu di Sekolah Perubatan Duke-National University of Singapore (NUS), Prof Wang Linfa, yang sebelum ini meramalkan kemunculan COVID-19 seawal Disember 2013.

Beliau membuat ramalan akan ada virus yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia dalam tempoh sedekad selepas Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dikesan di Arab Saudi dan ia terbukti benar dengan kemunculan COVID-19.

“Virus pertama ialah Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut hampir 650 nyawa di Tanah Besar China dan Hong Kong pada 2002 hingga 2003

“Akan ada virus terbaru dalam tempoh sedekad ini, namun persoalannya bila dan bagaimana kesannya,” katanya pada sidang video bertajuk COVID-19: Pandangan Bioperubatan Mengenai Wabak yang Berkembang anjuran NUS.

Jelas beliau, MERS tidak mudah merebak, tetapi kadar kematian tinggi iaitu pada nisbah satu kepada tiga dan kadar kematian SARS pula sekitar 10 peratus, manakala bagi COVID-19, kadar kematian adalah antara satu hingga 10 peratus.

Selain itu, kata Prof Wang, saintis turut bimbang bahawa SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19, akan mengalami mutasi berupaya berjangkit daripada manusia kepada haiwan dan kemudian menjangkiti manusia semula.

“Kelawar ada di mana-mana saja, malah banyak di hutan Amazon. Jika tidak bernasib baik, virus itu akan menjangkiti kelawar dan ia akan membawa virus itu tanpa simptom.

“Dari semasa ke semasa, ia akan merebak serta menjangkiti haiwan lain dan kemudian manusia.

“Terkini, saintis berusaha menyelidik risiko sama ada kelawar berupaya menjadi ejen penyebar virus,” katanya.

Sementara itu, Naib Dekan Penyelidikan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS, Prof Madya Alex Cook, berkata jumlah sebenar jangkitan COVID-19 di seluruh dunia mungkin lebih 10 kali ganda berbanding jumlah yang dilaporkan.

“Bagaimana kita dapat ketahui berapa banyak orang dijangkiti sedangkan mereka tidak menunjukkan gejala? Hanya ujian serologi dapat tentukan dengan mengesan siapa memiliki antibodi menentang COVID-19,” katanya. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1426