Piala Borneo KDM Malaysia 2020 Bakal Meriahkan Bola Sepak Sabah

KOTA KINABALU: Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Persatuan BOla Sepak Sabah (SAFA) bakal menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Borneo KDM Malaysia 2020 yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada Oktober depan.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata kejohanan berkenaan adalah kesinambungan kepada Liga KDM Malaysia yang telah diadakan sejak dua tahun lalu serta Piala Borneo yang dicadangkan pada tahun ini.

Piala Borneo yang sepatutnya diadakan pada Mac lalu terpaksa dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

”Kejohanan ini terbuka kepada semua pasukan sama ada negeri atau daerah dan dijangkan juga akan ada pasukan jemputan iaitu daripada Kalimantan, Brunei serta Sarawak.

”Kita akan mula membuka penyertaan dalam tempoh terdekat ini dan selepas menerima penyertaan, kita akan mulakan kejohanan itu sama ada pada September atau Oktober,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Peter berkata, kejohanan itu juga bakal menjadi sejarah buat Sabah kerana ia antara kejohanan peringkat negeri terbesar pernah dianjurkan di Sabah dan mungkin juga di negara ini.

”Kejohanan Liga KDM Malaysia yang kita anjurkan sebelum ini mendapat sambutan yang sangat baik dan oleh sebab itu kita mahu meneruskan kesinambungan itu.

”Sukan bola sepak sangat dekat di hati saya dan oleh sebab itu saya memutuskan untuk menganjurkan Piala Borneo KDM Malaysia untuk menghidupkan semula bola sepak yang telah senyap sejak PKP dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kejohanan nanti bakal mempertandingan dua piala iaitu Piala Borneo KDM Malaysia 2020 dan juga Piala FA.

”Hadiah bagi juara Piala Borneo KDM Malaysia 2020 adalah RM150,000 disusuli naib juara sebanyak RM80,000, tempat ketiga RM50,000 manakala tempat keempat akan membawa pulang wang RM30,000.

”Sementara itu bagi Piala FA, juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 manakala naib juara akan menerima hadiah RM20,000,” katanya.

Peter berkata, setiap pasukan yang ingin menyertai kejohanan itu hanya perlu membayar wang cagaran sebanyak RM5,000 dan pihak penganjur juga akan menyediakan sau set jersi kepada pasukan.

Katanya lagi, format pertandingan akan diumumkan nanti berdasarkan jumlah pasukan yang menyertainya.

”Sekiranya ada 16 pasukan yang bertanding, kita akan bahagikan kepada empat kumpulan dan jika lebih kita akan putuskan nanti jumlah kumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Peter berkata, walaupun kejohanan itu terbuka kepada semua pasukan, setiap pasukan yang ingin menyertainya akan ditapis terlebih dahulu.

”Ini kerana kita hanya mahukan pasukan yang benar-benar berkualiti dan bukan sekadar melengkapkan penyertaan.

”Selain itu, kita juga putuskan hanya tiga bekas pemain negeri yang boleh beraksi dalam satu-satu pasukan bagi membolehkan kejohanan berlangsung dengan lebih sengit.

”Kita tidak mahu jika ada pasukan membariskan ramai bekas pemain negeri, walaupun ia bukanlah jaminan untuk mereka menang tetapi kita mahu setiap pasukan mampu memberikan saingan,” katanya.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *