Covid-19: Tiada Kes Baharu, Tuaran & Penampang Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon yang memuat naik statistik itu memaklumkan, daerah Tuaran dan Penampang  kini kembali zon hijau.

Menurut statistik terbaharu itu, sebanyak tiga kes yang pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada wabak itu sebanyak 359 kes.

Sabah juga mencatatkan perkembangan positif apabila kali terakhir kes kematian dilaporkan akibat jangkitan itu adalah pada 12 Jun.

Di peringkat nasional pula, penularan wabak Covid-19 turut mencatatkan perkembangan positif apabila hanya lima kes baharu direkodkan, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lima kes baharu itu terdiri daripada tiga kes import dan dua kes tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,668 kes.

Beliau turut memaklumkan, terdapat 11 kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas daripada jangkitan Covid adalah 8,476 kes.

Tambahnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini, justeru jumlah kematian kekal sebanyak 121 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *