COVID-19: Kota Kinabalu Catat Satu Kes Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU: Selama tiga hari berturut-turut Kota Kinabalu melaporkan pertambahan kes baharu Covid-19 dan hari ini satu lagi kes dilaporkan di daerah ini.

Pertambahan satu kes baharu itu menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 376 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, pertambahan kes itu dilaporkan di Kota Kinabalu yang kini mencatatkan bilangan kes kumulatif sebanyak 68 kes termasuk 59 kes pulih dan lima kes aktif.

Setakat ini, lapan daerah masih mencatatkan kes aktif termasuk Kota Kinabalu.

Turut mencatatkan kes aktif adalah Tuaran (2) dan masing-masing satu kes di Tawau, Sandakan, Penampang, Kota Belud, Ranau dan Nabawan.

Beliau berkata, tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 356 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Sebanyak 10 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,658 kes.

Manakala, terdapat 15 kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,641 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 121 kematian.

Seramai dua pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *