Jasad Dilihat Dalam Rahang Buaya

Pasukan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari pemuda dipercayai di baham buaya di Kampung Sungai Kalabakan. Gambar Ihsan Bomba

KALABAKAN: Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti riadah di sungai dekat Kampung Sungai Kalabakan di Kalabakan, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 1.47 tengah hari itu, seorang penduduk kampung ada melihat jasad mangsa dalam mulut reptilia itu yang muncul di permukaan air sebelum menghilangkan diri di dalam sungai berkenaan.

Berikutan itu, saksi terbabit kemudiannya mendapatkan bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.14 petang.

Katanya, enam anggota pasukan penyelamat bersama 16 orang anggota Pasukan Bomba Sukarela Kalabakan digerakkan ke lokasi untuk operasi pencarian yang turut dibantu anggota Polis, Rela, dan penduduk kampung.

“Pasukan penyelamat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan teknik Surface Searcing dan turut bantu oleh agensi penyelamat yang lain namun jasad mangsa gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.

Ia kejadian terbaru membabitkan serangan buaya di Kalabakan selepas mayat seorang wanita berumur 50-an ditemui di Kampung Sungai Tuda, pada 25 Jun lalu.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *