Putrajaya Tidak Bincang Langkah Sabah Benar Pekerja China Masuk – Ismail Sabri

Menteri Kanan Ismail Saabri Yaakob berkata, kerajaan masih menutup pintu sempadan, termasuk melarang kemasukan pelancong dan pekerja asing kecuali ekspatriat kategori EP1.

PUTRAJAYA: Keputusan Sabah membenarkan pekerja asing termasuk dari China kembali bekerja di negeri itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Khas Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih menutup pintu sempadan negara, termasuk melarang kemasukan pelancong dan pekerja asing kecuali ekspatriat kategori EP1 membabitkan pengurusan tertinggi seperti pengarah urusan syarikat.

“Sabah benar pekerja asing China ini tidak pernah bincang dalam Mesyuarat Khas Nenteri dan MKN. Di bawah Akta 342 kita masih tutup pintu sempadan kepada warga asing, terutama melibatkan pelancong, begitu juga pekerja asing.

“Kebenaran kepada pekerja asing setakat ini hanya melibatkan, ekspatriat kategori EP1. Pekerja EP1 juga perlu membuat ujian saringan di negara mereka dan jika negatif dibenar masuk, tetapi yang Sabah benarkan itu saya tidak tahu merujuk kepada pekerja apa. Saya nak maklum pekerja warga asing lain (selain EP1) masih tidak dibenar masuk,” katanya dalam sidang media, hari ini.ADVERTISING

Ismail berkata, walaupun China negara besar dan pulih daripada wabak Covid-19 serta banyak kawasan diisytihar bebas, Malaysia masih menganggap negara itu berisiko.

“Kita masih berbincang, kategori kawasan mana (warganegara China) kita akan benarkan masuk.

“Jadi, pekerja warga asing bukan EP1 masih perlu memohon,” katanya.

Sabah dilapor membenarkan semua perjalanan masuk ke negeri itu sama ada melalui udara, darat dan laut kepada pekerja warga asing dari China yang mempunyai permit kerja.

Ketua Menteri Shafie Apdal dalam satu kenyataan berkata, kebenaran dibuat berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pekerja asing dari China dikehendaki menjalani ujian Covid-19 di tempat masing-masing sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas Covid-19.ADVERTISING

Katanya, kebenaran itu tertakluk kepada pematuhan SOP Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), peraturan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berwajib yang berkuat kuasa.

Pelajar luar negara boleh solat Jumaat

Sementara itu, Ismail memaklumkan pelajar dari luar negara yang berada di kampus universiti tempatan dibenar menunaikan solat di masjid dalam kampus universiti berkenaan jika disahkan bebas jangkitan Covid-19.

Katanya, kebenaran itu hanya membabitkan pelajar asing yang sudah berada dalam kampus dan bagi mereka yang disaring negatif selepas pulang dari negara asal.

“Kita hanya benarkan pelajar warga asing yang sudah berada di kampus dan disahkan negatif Covid-19 bersembahyang di masjid dalam kampus.

“Malah pelajar asing beragama Islam yang tiba di negara kita dan disahkan negatif juga dibenarkan bersembahyang di masjid dalam kampus saja,” katanya

SUBHEAD: Tidak larang golongan berisiko ke tempat awam

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan tidak pernah melarang golongan berisiko Covid-19 seperti warga emas dan kanak-kanak mengunjungi tempat awam.

Katanya, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), golongan terbabit hanya tidak digalakkan mengunjungi tempat awam kerana dikategorikan sebagai kumpulan berisiko.

“Akta 342 tidak melarang warga tua dan kanak-kanak berkunjung ke tempat awam seperti kompleks beli-belah dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kerajaan menasihati mereka tidak mengunjungi tempat berkenaan kerana mereka golongan berisiko,” katanya.

Pertimbang benarkan sukan bola sepak

Ismail turut memaklumkan, kerajaan membenarkan latihan dan aktiviti sukan tanpa sentuhan secara individu dan bukan berpasukan bermula 15 Jun lalu.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk membenarkan sukan membabitkan sentuhan badan, termasuk bola sepak.

“Minggu depan, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri mengenai pelaksanaan PKP berhubung cadangan membenarkan latihan penuh acara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur.

“Menteri belia dan sukan juga akan membentangkan cadangan penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bagi pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri,” katanya.- FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2183