Ambil Upah RM20, Warga Filipina Berdepan Hukuman Mati

Suspek bersama dadah yang dirampas.

TAWAU: Hanya kerana mahu mengambil upah RM20, seorang lelaki warga Filipina, 42, berdepan hukuman mati selepas dipercayai mengedar dadah jenis syabu di Kampung Vietnam, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 50.71 gram yang berada dalam saku seluar suspek ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi Borneo Today hari ini, mengesahkan perkara itu.

“Terdahulu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan pemantauan di lokasi berkenaan sebelum menemui suspek berada dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri, namun, gagal dan berjaya ditahan polis,” katanya.

Tambah Peter, pemeriksaan fizikal ke atas suspek berjaya menemui lima paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai syabu dianggarkan bernilai lebih RM5,000 ditemui pada saku seluar jeans yang dipakainya.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek seorang penganggur dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Lelaki itu mendakwa hanya mengambil upah sebanyak RM20 daripada seorang individu lain untuk menghantar barang itu kepada pembeli,” katanya.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga menunjukkan kandungan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan Seksyen 15(1) akta yang sama atas kesalahan penagihan dadah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *