Shafie Arah Universiti Di Sabah Dirombak, Kakitangan Dibayar Gaji Penuh

Shafie Apdal (kanan) menerima bekalan perubatan daripada seorang penderma di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mahu pengurusan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dirombak selepas laporan ia menghadapi masalah kewangan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan setiausaha kerajaan negeri menguruskan perkara itu, termasuk mengekalkan kakitangan dan memastikan pembayaran gaji penuh.

“Saya sudah meminta perkara ini dipercepatkan,” katanya selepas menerima sumbangan bekalan perubatan daripada pelbagai syarikat kepada kerajaan negeri.

“Saya tidak mahu gaji dipotong atau pekerjaan ditamatkan. Saya mahu ini diselesaikan. Saya juga mahu merombak pengurusan pentadbiran untuk memastikan ia dikendalikan dengan baik.”

Dalam memo bertarikh 15 Jun lalu, Naib Canselor UCSF, Mohamed Haleem Mohamed Razi meminta 200 kakitangan USCF menerima pemotongan gaji sebanyak 50% susulan masalah kewangan yang dihadapinya akibat pengambilan pelajar baru yang rendah kerana pandemik Covid-19.

Katanya, ini sebahagian daripada langkah pengurangan kos susulan pengambilan pelajar baru yang rendah pada April lalu.

Dalam memo kedua bertarikh 30 Jun, UCSF meminta kakitangannya yang tidak bersetuju dengan langkah pengurangan kos untuk mengambil cuti tanpa gaji atau meletak jawatan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah berkata, kakitangan universiti itu tidak pernah bersetuju dengan pemotongan gaji mereka, sebaliknya ia diputuskan pihak pengurusan tanpa rundingan terlebih dahulu.

Dalam kenyataan semalam, Setiausaha MTUC Sabah, Catherine Jikunan dilaporkan berkata, semua kakitangan hanya diberikan memo awal selepas keputusan dibuat.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *