
PUTRAJAYA, 1 Julai: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesan lebih 1,400 individu yang ingkar untuk menjalani saringan kedua COVID-19 setelah tamat tempoh kuarantin kendiri di rumah.
Kesemua mereka merupakan individu yang baru pulang dari luar negara dan perlu menjalani saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin.
“Kita telah kenalpasti individu tersebut. Kita ada alamat dan sebagainya,” kata Noor Hisham.
KKM mempunyai maklumat seperti nama dan alamat individu yang telah dikuarantin tetapi tidak hadir untuk ujian #COVID19 kali kedua walaupun telah dingatkan lebih awal.
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) July 1, 2020
Semua mereka telah diambil maklumat ketika mula mendaftar hari pertama kuarantin.
“Kita telah laksanakan swab hari pertama. Hari ke-13 mereka patut menjalankan swab dan hari ke-14 datang ke klinik tetapi mereka tidak hadir ke klinik.
“Kami akan laksanakan pengesanan kenapa mereka tak hadir dan sebagainya.
“Kami ada data mereka dan kita tahu di mana mereka berada,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan berkata pihak polis akan mengesan individu terlibat. Mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, katanya.
Polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan #COVID19 kali kedua hingga kini.
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) July 1, 2020
–@IsmailSabri60
Sumber: KKM