PAPAR: Sabah mencatatkan kehadiran 80 peratus murid prasekolah, yang memulakan sesi pembelajaran hari ini di seluruh negeri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN), Dr Mistrine Radin berkata, ini membabitkan murid daripada 1,291 pra sekolah kerajaan dan swasta di negeri ini.
Katanya, sesi pembelajaran juga berjalan lancar dengan semua guru serta petugas berkaitan prasekolah, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya berpuas hati dengan SOP ditetapkan dan ibu bapa memberi kerjasama serta kepercayaan kepada guru.
“Setakat ini hanya prasekolah yang dilanda banjir sahaja masih tutup, manakala di Papar, sebanyak sembilan prasekolah yang belum beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di pra sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Buang Sayang Papar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Guru Besar SK Buang Sayang, Basnih Maidin.
Prasekolah yang memulakan sesi pembelajaran hari ini adalah prasekolah Jenis Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan prasekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mistrine berkata, sebanyak 886 prasekolah kerajaan yang dibuka semula membabitkan seramai 29,989 murid dan 1,326 guru.
Bagi prasekolah swasta pula, katanya ia membabitkan 405 prasekolah dengan 24,081 murid manakala 1,930 guru.
“Sebanyak 18 prasekolah di bawah KPM di empat daerah yang belum beroperasi disebabkan banjir yang melanda Sabah baru-baru ini,” katanya sambil menambah empat daerah itu ialah Papar, Kota Belud, Beaufort dan Tenom.
Sementara itu Basnih berkata, keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pra sekolah meningkat selepas sesi taklimat diadakan sebelum ini.
“Sebelum sesi taklimat bersama ibu bapa, ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak mahu hantar anak mereka. Cuma sekarang, anak-anak berusia lima tahun yang masih ramai belum dihantar ke prasekolah,” katanya.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost