Pasar Umum Sandakan Ditutup Seminggu

SANDAKAN, 30 Jun: Pasar Umum Sandakan di sini ditutup sementara selama tujuh hari bermula 5 petang hari ini bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyahkuman dilakukan susulan kes positif COVID-19 dikesan di pasar itu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan Sandakan Sundusin Nganro berkata penutupan itu melibatkan kesemua tiga aras bangunan pasar itu.

“Kita mengambil langkah penutupan keseluruhan pasar ini bagi mengelak orang awam mengunjungi pasar ini dalam tempoh kerja-kerja sanitasi dilakukan.

“Bagaimanapun, sekiranya kerja-kerja sanitasi selesai dalam tempoh tiga hari, kita boleh benarkan pasar ini beroperasi semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi penutupan sementara Pasar Umum Sandakan hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar perkembangan COVID-19 di Putrajaya memaklumkan kes positif COVID-19 di pasar Sandakan itu adalah satu daripada dua kes penularan dalam negara yang dilaporkan semalam.

Kes tersebut membabitkan seorang lelaki tempatan dikesan semasa saringan di tempat kerja iaitu di pasar di Sandakan dan adalah kes pertama direkodkan di daerah itu setelah dua bulan berstatus zon hijau.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita akan berusaha sebaiknya untuk memastikan penularan wabak ini dapat dibendung dan Sandakan dikategorikan semula sebagai zon hijau,” kata Sundusin.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3339