COVID-19: Indonesia Bimbang Ledakan Kelahiran

Indonesia memberikan amaran berlakunya ledakan kelahiran menjelang tahun hadapan ekoran perintah berkurung akibat COVID-19. – Foto AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menjangkakan lebih 400,000 kelahiran berbanding kebiasaan pada tahun hadapan berikutan pasangan terpaksa duduk di rumah serta tiada akses alat cegah kehamilan, mendorong peningkatan pengguguran dan kanak-kanak kurang nutrisi dalam kalangan keluarga miskin.

Juarsih, 41, ibu kepada dua anak, berkata ubat cegah kehamilannya habis berikutan klinik ditutup dan hanya dikhususkan untuk pesakit COVID-19 saja, malah sehingga kini bimbang untuk membuat pemeriksaan di kampung halamannya di Bandung, Pulau Jawa.

“Mula-mula saya terkejut, tetapi gembira dan bersyukur selepas itu biarpun dalam keadaan sukar ketika ini,” katanya.

Penggunaan alat cegah kehamilan menurun secara drastik sejak pandemik itu melanda Mac lalu, menurut Ketua Lembaga Perancang Penduduk dan Keluarga Nasional Indonesia, Hasto Wardoyo.

Pihak berkuasa kesihatan pula bimbang keadaan itu akan meningkatkan potensi pengguguran dan kadar kematian ibu yang tinggi selain kanak-kanak berdepan kekurangan nutrisi berikutan tidak berkemampuan.

Justeru inisiatif kempen dilaksanakan di mana pekerja kesihatan mewar warkan kepada komuniti bahawa ini bukan masa sesuai untuk mempunyai bayi.

Minggu ini, pihak berkuasa melancarkan intensif sehari yang bertujuan mengedarkan alat cegah kehamilan kepada sejuta penduduknya, khusus wanita.

Malah, selebriti turut disenaraikan untuk membantu menyebarkan berkenaan perkara itu.

Selain itu, pemotongan belanjawan dan perubahan struktur politik di seluruh negara menjadikan usaha mendidik masyarakat mengenai perancang keluarga sukar.

“Petugas kesihatan pula sibuk menguruskan pesakit COVID-19, menjadikan perkhidmatan kawalan kelahiran diketepikan dahulu,” kata Ketua Agensi Perancang Keluarga Jawa Barat, Kusmana.

Namun, bagi pasangan yang bekerja dari rumah, Arie Novarina, 38, beranggapan situasi itu memberi hikmah kepada mereka kerana dia kini sedang menantikan kelahiran anak sulung selepas dua tahun menunggu.

Sehingga kini, hampir 3,000 kematian dicatatkan akibat COVID-19 di Indonesia, tetapi penyelidik menjangkakan lebih banyak angka kematian yang berlaku. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

866