Masa Depan Sabah, Lebih Terjamin Jika Jawatan PM Disandang Pemimpin Dari Malaysia Timur

Datuk Stanley Tee (kiri) & Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan)

KOTA KINABALU: Masa depan Sabah dan Sarawak akan lebih terjamin sekiranya jawatan Perdana Menteri itu dipegang seorang pemimpin dari Malaysia Timur.

Pengerusi Persatuan Perkakasan Jentera dan Bahan Binaan Kota Kinabalu, Datuk Stanley Tee, berkata cadangan mencalonkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada jawatan itu adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

“Bagaimanapun, sekiranya ianya jadi kenyataan, ia menjadi perkara penting khususnya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Secara tidak langsung ia boleh memberikan kesan positif kepada masa depan rakyat di negeri ini dan Sarawak.

Datuk Stanley Tee

“Ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Shafie dan Datuk Darell Leiking serta pemimpin yang lain telah mengutarakan 21 perkara dalam MA63 kepada Kerajaan Pusat.

“17 daripada 21 perkara itu sudah mencapai persetujuan bersama pada tahun lalu. Ini membuktikan pemimpin Sabah dan Sarawak mempunyai keupayaan untuk membela kebajikan rakyat Malaysia Timur di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, baki beberapa perkara seperti hal berkaitan gas dan minyak ianya memerlukan satu tempoh masa dan pertimbangan sewajarnya untuk dilaksanakan. Harapan tinggi diletakkan agar perkara-perkara selebihnya itu berjaya mendapat penyelesaian.

Katanya, usaha Kerajaan Sabah dalam mengurus pandemik COVID-19 yang melanda negeri ini juga dilaksanakan dengan baik.

“Usaha sedemikian membuktikan Shafie seorang pemimpin terbaik kepada rakyat, menunjukkan tahap  kepimpinan yang cemerlang dan dia juga seorang pembuat keputusan yang berkesan.

“Baru-baru ini, Sabah New Deal juga telah dilancarkan dengan peruntukan sehingga RM240 juta. Tujuannya adalah untuk membantu perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, meningkatkan keupayaan teknologi, membangunkan sumber manusia dan mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Menurutnya, berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini, jumlah yang diperuntukkan di Sabah adalah sangat tinggi, ia menunjukkan kesanggupan pemimpin (Shafie) berkenaan mengutamakan pembangunan masa depan Sabah.

Tambahnya, sepanjang tempoh pandemik itu, Shafie juga sentiasa mendengar rintihan-rintihan pelbagai persatuan dan perniagaan seterusnya menetapkan prosedur keselamatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar lebih banyak perniagaan boleh beroperasi.

Stanley turut menjelaskan beberapa pemimpin PH Sabah juga pernah mengatakan Semenanjung Malaysia harus menjadikan budaya politik Malaysia Timur sebagai contoh dan lebih bertanggungjawab dari segi keharmonian perkauman serta keagamaan.

“Saya berharap budaya politik seumpamanya boleh menjadikan seluruh Malaysia lebih harmoni dan aman,” katanya.

Katanya, kebajikan rakyat negara kini terjejas akibat pandemik COVID-19, dibelenggu dengan ketidaktentuan politik, keadaan seumpamanya membuatkan semua pihak di Malaysia berasa sukar untuk melihat peluang perniagaan. Terdapat pelabur asing juga hilang kepercayaan terhadap ekonomi negara.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, kami percaya pemimpin yang berpengalaman ini (Shafie) mampu membimbing semua rakyat untuk mengatasi segala dilema dihadapi masyarakat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri dengan sokongan BERSATU, AMANAH, DAP dan WARISAN adalah sesuatu yang positif.

Katanya, kedua-dua pemimpin berkenaan mempunyai idea dan sasaran yang sama dalam politik. Bersama-sama kedua pemimpin ini berjaya menjatuhkan politik rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Menurutnya, Tun M percaya Shafie adalah calon terbaik untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Beliau juga menyokong penuh kepada Shafie.

“Sekiranya perkara ini berjaya menjadi kenyataan, ianya sudah pasti akan menyebabkan Sabah dan Sarawak mempunyai status sama rata dalam Malaysia,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *