Bekalan Makanan Untuk Mangsa Banjir Dijamin Mencukupi – KM

KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal memberi jaminan penempatan dan bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, empat PPS dibuka di daerah ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas teruk akibat banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Katanya, penempatan sementara mangsa-mangsa banjir ini akan dibuat sehingga banjir di kawasan mereka reda.

Buat masa ini, mereka masih belum boleh kembali ke kampung masing-masing kerana keadaan banjir belum reda sepenuhnya dan cuaca juga tidak menentu.

“Atas sebab itu, demi keselamatan mereka, kita tempatkan mereka di sini.

“Untuk daerah Kota Belud ini, sebanyak 32 kampung terjejas dan melibatkan 318 orang mangsa,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di sini petang tadi.

Mohd Shafie turut berpuas hati atas kerjasama pimpinan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat yang berganding bahu dalam menyelamatkan nyawa manusia yang terjejas banjir di sini.

Katanya, nyawa penduduk terutama mereka yang terdiri daripada golongan warga tua dan kanak-kanak perlu diselamatkan.

Turut hadir adalah Menteri Pelajaran & Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Musbah Jamli dan Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *