KOTA KINABALU: Penyakit kolera dikesan di negeri ini antara 29 Mei hingga 25 Jun lalu membabitkan empat daerah yang dilanda wabak.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan wabak tersebut berlaku di Kota Kinabalu melibatkan 10 kes, Putatan (dua kes) dan masing-masing satu kes di Tuaran sera Semporna.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, seramai 13 orang atau 93 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan melibatkan warganegara Malaysia.
Katanya, sekitar 45 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan pesakit berumur antara 7 hingga 18 tahun.
“Pesakit paling muda adalah bayi berumur setahun dan paling tua, berumur 80 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tren kejadian kolera menurun sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dengan pembukaan hampir kesemua sektor, bilangan kes kolera dijangka meningkat akibat kemungkinan pencemaran makanan dan air yang tinggi.
Beliau berkata, antara faktor risiko yang dikenal pasti menyebabkan berlakunya jangkitan ini adalah disebabkan tabiat memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna mahupun tidak mencuci peralatan makanan menggunakan air dirawat.
Dr Christina berkata, penyakit kolera disebabkan oleh bakteria vibrio cholera dan merupakan antara penyakit bawaan makanan dan air yang utama di negeri Sabah.
Katanya, pesakit boleh mengalami gejala seawal beberapa jam hingga lima hari selepas memakan makanan dan minumna yang tercemar oleh bakteria ini.
“Gejala kolera adalah cirit-birit yang boleh mengakibatkan badan kehilangan cecair dan sekiranya tidak dirawat boleh mengakibatkan kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.
“Penyakit ini boleh merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih, tiada kemudahan tandas yang sempurna dan persekitaran yang tidak bersih.
“Maka, JKNS menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit kolera dengan minum air yang dimasak, membasuh tangan sebelum makan dan mengendali makanan, membasuh tangan selepas menggunakan tandas serta memastikan makanan laut dan daging dimasak dengan sempurna,” ujarnya.
Disamping itu, orang ramai juga dinasihatkan menggunakan tandas yang bersih dan sempurna.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost