Shafie Apdal Bakal Calon Perdana Menteri PH

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Plus dijangka mencalonkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri bagi menyelesaikan kemelut politik negara.

Difahamkan, perbincangan tersebut telah bermula sebagai pilihan lain selain Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebuah video turut tular di media sosial sejak semalam yang menunjukkan pencalonan Mohd. Shafie disokong Dr. Mahathir ketika pertemuan beliau bersama ahli-ahli Bersatu.

Dr. Mahathir di dalam video tersebut menyatakan beliau bersama beberapa bekas pemimpin Bersatu, Amanah dan DAP telah bersetuju agar Mohd. Shafie dicalonkan.

“Adalah kumpulan yang  terdiri daripada wakil, Warisan, wakil dari Bersatu wakil daripada Amanah wakil daripada  DAP pun ada, kita empat parti ini bersetuju, jadi ini persetujuaan saya juga.

“Jadi saya harap, sokongan kepada saya ini dibuat melalui sokongan pasal saya yang namakan dia, bukanlah saya seorang, yang lain pun bagi nama yang sama, jadi saya harap akar umbi akan terima pencalonan ini.

“Fikirkan, kalau saya tak ada. Ada orang lain. takkan saya nak ada selama-lamanya, jadi adalah lebih baik kita pindah supaya kita boleh tentukan orang yang ambil alih ini meneruskan perjuangan kita, itulah harapan kita sebab itu saya nak supaya kita sokong Shafie Apdal, kerana dia dan saya sependapat,” kata Dr. Mahathir.

Cadangan terbaharu itu bakal memecahkan tradisi apabila semua Perdana Menteri sebelum ini semuanya berasal dari Semenanjung.

Pemilihan Mohd. Shafie juga memberi harapan baharu kepada Sabah dan Sarawak dalam mendapatkan kembali hak-hak kedua-dua negeri yang dituntut dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *