Rakyat Malaysia Timur Perlu Sokong Shafie Apdal Jadi Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Selepas 57 tahun pembentukan Malaysia, sejarah bakal menyaksikan pemimpin dari Sabah diangkat menjadi Perdana Menteri.

Cadangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) plus memilih Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri harus disokong oleh pemimpin dan rakyat Sabah.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob berkata, rakyat Sabah dan Sarawak sudah menunggu 57 tahun untuk melihat pemimpin Malaysia Timur diangkat memegang jawatan tertinggi negara.

Beliau berkata, sebelum ini pemimin kedua-dua negeri ini langsung tidak diberi peluang, jangan kata Perdana Menteri, jawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak diberi ruang.

“Pertama kali sejak merdeka dan pembentukan Malaysia pada 1963, seorang anak Malaysia Timur dicadangkan oleh pemimpin berpengaruh dari Semenanjung untuk menerajui kepimpinan negara.

“Suara ini bukan daripada Tun Mahathir Mohamad seorang sahaja. Tetapi ramai pemimpin-pemimpin Semenanjung Malaysia turut bersetuju dengan cadangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan video tular yang memperlihatkan Tun Mahathir dan pemimpin PH Plus setuju menamakan Shafie sebagai Perdana Menteri.

Yusof berkata, Shafie telah lama berkecimpung dalam politik negeri dan negara, bermula dengan jawatan Pemuda, Bahagian, AMT UMNO dan Naib Presiden UMNO.

“Shafie mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dengan memegang Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan dalam beberapa kementerian.

“Malah, beliau (Shafie) juga berpengalaman di pentas politik antarabangsa dan pernah menjadi Presiden Parlimen Commonwealth yang berpusat  di London serta menyertai acara-acara politik seperti ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Beliau juga mempunyai pendedahan antarabangsa yang mencukupi apabila beberapa kali mengetuai delegasi negara untuk rundingan dua hala dalam sektor perdagangan, ekonomi, pertahanan dan keselamatan.

“Saya yakin Shafie juga tidak asing dengan pemimpin-pemimpin negara luar dan dalam  negeri termasuk dalam kalangan parti lawan,” jelasnya.

Yusof berkata, nama Shafie juga dicadangkan berikutan rakyat sudah bosan dengan kemelut politik Semenanjung dan Malaysia.

Katanya, rakyat dan pemimpin memikirkan sudah sampai masanya pemimpin Malaysia Timur menjadi Perdana Menteri demi mencapai hala tuju baharu negara.

Maka, sudah sampai masa rakyat dan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak sebulat suara tanpa mengira parti politik menyokong Shafie untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *