Shafie Berkebolehan Dan Layak Jadi Calon Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Penantian 57 tahun melihat anak Sabah diangkat sebagai Perdana Menteri akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Demikian kenyataan Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) apabila melihat cadangan menjadikan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) plus.

Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, sesiapa sahaja berhak memimpin Kerajaan Persekutuan walaupun jika calon itu datangnya dari Sabah dan sememangnya mempunyai kelayakan sama untuk memimpin Persekutuan.

“Kita sudah menanti 57 tahun untuk ini. Saya percaya beliau (Mohd Shafie) mempunyai kebolehan dan kelayakan…mempunyai bakat kepimpinan yang sama seperti orang lain.

“Selaku Ketua Wirawati Sabah dan rakan Wirawati yang lain, kami berdiri teguh di bekalang presiden parti kami,” katanya ketika diminta mengulas mengenai video tular yang menunjukan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri PH plus.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Wirawati Warisan, di pejabat Warisan, di sini hari ini.

Mengenai isu keanggotaan parti, Munirah berkata, Warisan meraikan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti.

Katanya, sebagai Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, beliau terbuka untuk menerima sesiapa sahaja.

“Tiada diskriminasi. Jika permohonan keahlian di hantar ke bahagian, cawangan sudah tentu kita akan hantar kepada Setiausaha Agung parti. Kenapa pula kita mahu halang mereka yang ingin menyertai kita.

“Saya rasa Warisan adalah wadah terbaik untuk seluruh warga Sabah tanpa mengira bangsa, agama sekalipun.

“Warisan adalah Sabahan,” katanya.

Mengenai kekeliruan penubuhan cawangan yang berlaku di Kota Belud, Munirah berkata, perkara itu tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Katanya, Warisan Bahagian Kota Belud sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti. Permohonan keahlian mereka menyertai parti diterima kerana permohonan diberikan kepada pejabat parti di peringkat negeri pada Julai 2019.

Namun, cadangan penubuhan cawangan itu tidak diterima di peringkat bahagian.

Untuk makluman, penubuhan cawangan bukan tertakluk kepada kelulusan ibu pejabat parti. Ini merupakan bidang kuasa RoS.

Semalam, Pengerusi penaja cawangan Kota Belud Awang Salleh Makmud bersama 11 individu yang memohon menyertai Warisan tahun lepas menarik diri kerana didakwa bosan menunggu kelulusan rasmi Warisan.

Kumpulan daripada empat cawangan di bahagian Kota Belud itu juga mendakwa proses keahlian Warisan perlahan, tidak sistematik dan membenarkan amalan favoritisme.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *