267 PATI Indonesia Diusir Sejak Rabu

TAWAU: Seramai 267 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka dalam program pengusiran yang dilaksana sejak Rabu.

Pengusiran ini merupakan usaha berterusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dalam menangani masalah kebanjiran PATI di Sabah.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, menerusi program pengusiran siri ke-18 yang dilakukan hari ini, seramai133 PATI warga Indonesia diusir ke negara asal mereka.

Pada Rabu, seramai 134 orang PATI warga Indonesia turut diusir melalui jalan laut dari pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

“Secara keseluruhan, jumlah PATI yang diusir keluar sepanjang tahun ini adalah seramai 3,936 orang termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang telah diusir melalui udara yang diuruskan oleh JIM Sabah.

“Sejak tahun 1990 sehingga kini, seramai 595,193 orang PATI telah diusir keluar dari Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya, seperti siri pengusiran sebelum ini, semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.

Katanya, MKN turut menghargai kerjasama baik daripada pihak kerajaan Indonesia dalam setiap siri pengusiran yang dilaksanakan.

“Tindakan mereka mencerminkan tanggungjawab dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan warganegara mereka walaupun berstatus PATI.

“Kerajaan Filipina melalui Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur juga telah memberikan respon yang positif dalam urusan pengusiran tahanan PATI Filipina di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Hasil kerjasama baik yang diberikan oleh mereka, pengusiran tahanan PATI Filipina juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sharifah berharap komitmen jitu sebegitu dapat diteruskan oleh kedua-dua negara tersebut demi kelancaran siri-siri pengusiran yang akan datang.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI akan sentiasa dijalankan. Ia selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan keberadaan PATI di Sabah.

Namun, usaha kerajaan semata-mata tidak akan berhasil sekiranya rakyat tidak turut sama memainkan peranan masing-masing.

“PATI akan terus berada di dalam negeri ini sekiranya masyarakat masih menggaji pekerja PATI, melindungi PATI dan mendalangi kemasukan PATI ke Sabah terutamanya tekong-tekong kapal,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

728