KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan khabar angin mengatakan pihak polis menyerbu kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah di sini baru-baru ini.
Khabar angin tersebut tersebar selepas status seorang pengguna Facebook, Dtk H Kalakau semalam mendakwa melihat beberapa kenderaan dipercayai milik polis berada di pekarangan rumah Masiung.
Datuk H Kalakau mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) pihak polis dan menyeru ahli keluarga Masiung untuk pergi ke rumahnya segera untuk menghulurkan bantuan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menafikan perkara itu dan berkata, polis datang ke rumah Masiung pada malam Isnin lalu selepas menerima panggilan daripada pemimpin itu selepas beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan berada di luar rumahnya.
“Selepas menerima panggilan, kami menghantar sepasukan anggota untuk melakukan pemeriksaan, kami tidak menemukan apa-apa kenderaan mencurigakan di luar rumahnya atau kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi media.
Katanya, polis kemudian meninggalkan tempat itu dan menghubungi Masiung meminta beliau membuat laporan polis.
“Kami menghubungi beliau semula dan menasihatkannya membuat laporan polis tentang perkara di mana beliau percaya melihat beberapa kenderaan mencurigakan,” katanya.
Tambahnya, masih belum ada laporan polis dibuat Masiung setakat ini.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost