TAWAU; 24 JUN 2020 (Rabu) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah menghantar 267 orang lagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masing-masing 134 orang hari ini dan 133 pada Jumaat.
Pengarah MKN Sabah, Sharifah Siti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua PATI dihantar melalui jalan laut dari pelabuhan Tawau ke Nunukan Indonesia selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, ia merupakan pengusiran ke-17 dan 18 melalui laut pada tahun ini melibatkan PATI Filipina dan Indonesia dengan menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran seramai 3936 orang termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang telah diusir melalui jalan udara yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Jumlah keseluruhan pengusiran sejak tahun 1990 seramai 595,193 orang.
Katanya, pihaknya juga menzahirkan penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang telah memberi kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat pulang ke negara asal.
Dalam pada itu, kerajaan Filipina melalui kedutaannya di negara ini juga telah memberi respon positif dengan pengusiran warganya yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.Sharifah Siti Saleha berkata, pihaknya komited dalam memastikan semua tahanan dapat kembali ke negara asal selain berharap agar komitmen jitu kedua-dua negara dapat diteruskan demi kelancaran pengusiran yang akan datang.
Jelasnya, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskan dan menasihatkan rakyat memainkan peranan membantu kerajaan dengan tidak menggaji pekerja PATI, melindungi dan mendalangi kemasukan PATI ke negeri ini terutama tekong-tekong kapal.
Pengusiran PATI turut diselaraskan bersama JIM dengan bantuan Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan pelbagai agensi lain.
SumbeR: #BESTAWAUfm
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost